Memahami tentang harta sepencarian.
Salam ukhuwah buat ahli briged..ramai yang tidak faham
tentang harta sepencarian dengan suami apabila berlaku perceraian..
Artikel kali ini saya kongsikan daripada Dr. Hasanah Abd.
Khafidz, seorang doktor falsafah dalam bidang Syariah, untuk bacaan ilmiah
kalian.
Sambung lagi perbincangan tentang harta sepencarian. Ini ialah
bahagian ketiga selepas dua entri sebelum ini yang membahaskan isu harta
sepencarian.
Secara umumnya adalah sukar untuk menentukan kaedah
pembahagian harta sepencarian kerana tiada ketetapan khusus mengenai
pembahagian ini samada ½, 1/3 atau seumpamanya.
Dalam sistem adat terdapat pendekatan
tertentu yang dapat mentautkan kembali hubungan kekeluargaan sesama pasangan
iaitu dengan menyelesaikan sesuatu pertikaian itu melalui kemuafakatan atau
perdamaian. Pendekatan demikian berbeza dengan kaedah penyelesaian masa kini
yang merujuk kepada sumbangan yang diberi oleh pihak-pihak bertikai merupakan
asas penting yang mempengaruhi keputusan mahkamah. Dalam konteks pembahagian
terdapat beberapa cara digunakan, iaitu:
1) Kaedah Sulh .
2) Melalui persetujuan dalam mahkamah.
3) Pembahagian juga boleh dilakukan melalui kuasa mahkamah.
Sekiranya kedua-dua pihak tidak dapat membezakan
berapa jumlah kuantiti material yang disumbangkan dalam perolehan harta yang
dipertikaikan itu, maka penyelesaiannya adalah dengan menggunakan kaedah
pembahagian iaitu mahkamah memerintahkan supaya harta-harta tersebut dibahagi
dua atau sama banyak. Cara ini digunakan apabila kedua-dua belah pihak
memberikan sumbangan secara langsung.
Pembahagian harta sepencarian di Selangor diselesaikan
dengan merujuk kepada Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam 2003 (Negeri Selangor)
[Enakmen No 2/ 2003] Seksyen 122 yang menetapkan:
1) Mahkamah adalah mempunyai kuasa apabila membenarkan
lafaz talak atau apabila membuat suatu perintah penceraian, memerintah supaya
apa-apa aset yang diperolehi oleh pihak-pihak itu dalam masa perkahwinanmereka
dengan usaha bersama mereka dibahagi antara mereka supaya mana-mana aset itu
dijual dan hasil jualan itu dibahagi antara pihak-pihak itu.
2) Pada menjalankan kuasa yang diberi oleh sub-seksyen
(1), mahkamah hendaklah mengambil perhatian tentang:
a. Takat sumbangan-sumbangan yang telah dibuat oleh tiap-tiap satu pihak
dalam bentuk wang, harta atau kerja bagi memperolehi aset-aset tersebut.
b. Apa-apa hutang yang terhutang oleh salah satu pihak yang telah
dilakukan bagi manfaat bersama mereka.
c. Keperluan anak-anak yang belum dewasa dari perkahwinan itu jika
ada. Dan tertakluk kepada pertimbangan-pertimbangan itu, mahkamah hendaklah
membuat pembahagian yang sama banyak.
3) Mahkamah adalah mempunyai kuasa apabila membenarkan
lafaz talak atau apabila membuat perintah penceraian, memerintahkan supaya
apa-apa aset yang diperolehi dalam masa perkahwinan dengan usaha tunggal satu
pihak kepada perkahwinan itu dibahagi antara pihak-pihak itu.
4) Pada menjalankan kuasa yang diberi oleh sub-seksyen (3), mahkamah
hendaklah memberi perhatian kepada:
a) Takat sumbangan-sumbangan yang telah dibuat oleh
pihak yang tidak memperolehi aset itu, kepada kebajikan keluarga dengan
memelihara rumahtangga atau menjaga keluarga.
b) Keperluan anak-anak yang belum dewasa dari perkahwinan itu jika ada dan
tertakluk kepada pertimbangan-pertimbangan itu, mahkamah boleh membahagikan
aset-aset itu atau hasil jualan itu mengikut apa-apa kadar yang difikirkan
munasabah. Tetapi walau bagaimanapun, pihak yang telah memperolehi aset-aset
itu dengan usahanya hendaklah menerima satu kadar yang lebih besar.
5) Bagi maksud seksyen ini, rujukan-rujukan mengenai
aset yang dipunyai oleh satu pihak sebelum perkahwinan itu telah dimajukan pada
sebahagian besarnya dalam masa perkahwinan itu oleh pihak yang lagi satu itu
atau dengan usaha bersama mereka.
Di Wilayah Persekutuan, pembahagian harta sepencarian
dibahagi sama rata jika dibuktikan adanya sumbangan bersama antara suami isteri
dalam memperoleh harta yang dipertikaikan. Namun dalam sesetengah kes mahkamah
memerintahkan 5/6 dibahagikan kepada isteri dan 1/6 kepada suami.
Undang-Undang Mahkamah Syariah Sarawak (1985) mempunyai
peruntukan lebih tegas berhubung harta sepencarian serta memberi definisi yang
jelas berhubung dengan harta tersebut. Definisi yang diberikan adalah harta
yang diperolehi bersama suami isteri semasa perkahwinan mengikut kadar
sumbangan yang telah dibuat oleh tiap-tiap pihak dalam bentuk tenaga, harta atau
wang. Hak-hak isteri ke atas harta sepencarian setelah berlaku penceraian
adalah:
a. Jika suami sama-sama bekerja (makan gaji/sendiri) maka pembahagiannya
adalah mengikut kadar sumbangan setiap pihak.
b. Jika isteri menjalankan tugas menyusu dan memelihara anak, mencuci
pakaian, memasak, memelihara kebersihan rumah tangga selain bekerja, maka dia
berhak mendapat selain bahagiannya seperti dalam ceraian (1) peruntukan
berkenaan iaitu ? daripada bahagian suami.
c. Jika suami sahaja bekerja sedangkan isteri hanya bertugas di rumah dan
memelihara anak, maka isteri akan mendapat ? daripada harta.
d. Jika isteri tinggal di rumah tetapi disediakan orang gaji, tukang
masak, tukang cuci pakaian, tukang jaga anak dan sebagainya oleh suaminya, maka
isteri tidak berhak mendapat ? daripada harta sepencarian. Walau bagaimanapun,
terpulang kepada mahkamah mempertimbangkan bahagian yang munasanah untuknya.
Di Sarawak, Undang-Undang Mahkamah Melayu telah menentukan
bahawa tuntutan harta sepencarian boleh dibuat semasa penceraian. Bagi wanita
yang bekerja dengan suami seperti adat Melanau, maka berhak mendapat ½ dari
harta tersebut. Jika wanita tidak bekerja hanya mendapat ? sahaja. Jika
didapati kedua-dua pihak berhutang dan hutang tersebut tidak boleh dilangsaikan
dengan harta sepencarian mereka, maka penceraian tidak dibenarkan kecuali jika
pihak suami sanggup membayar hutang tersebut.
Undang-undang yang telah dinyatakan tadi merupakan
sebahagian daripada undang-undang yang dilaksanakan di Mahkamah-mahkamah
Syariah di Malaysia. Walaupun setiap negeri memperuntukkan undang-undang
berkaitan harta sepencarian, namun, didapati bahawa terdapat beberapa perbezaan
antara undang-undang tersebut terutamanya dari sudut kaedah pembahagian.
Hal ini adalah kerana sifat undang-undang harta sepencarian itu sendiri yang
masih boleh dianggap baru dan memerlukan kajian lanjut. Lakune dalam
undang-undang berkaitan berpunca daripada kurangnya sumber yang berbentuk
tekstual dalam karya klasik undang-undang Islam (ummahat al-kutub) dan ia banyak
bergantung kepada adat setempat sesuai dengan prinsip fiqh iaitu al-‘adah
muhakkamah yang bermaksud adat boleh menjadi hukum.
Rujukan & catatan
- Ibrahim Lembut. (12-14 Jun 2007). Kaedah Dan Keseragaman
Di Dalam Cara Pembahagian Harta Sepencarian Harta Pusaka Islam. Konvensyen
Perwarisan Harta Islam. Amanah Raya Berhad, Kuala Lumpur. Hal: 9.
- Sulh: Iaitu dengan cara berdamai sama ada melalui
pengakuan, penyerahan hak pemilikan kepada satu pihak. Sulh juga boleh berlaku
dalam keadaan satu pihak tidak berhasrat untuk membuat tuntutan, sebaliknya
bersedia memberikan harta yang dipertikaikan itu kepada pihak yang satu lagi.
- Persetujuan dalam mahkamah: Iaitu semasa perbicaraan
di mana hakim memberi peluang kepada kedua-dua belah pihak untuk mencapai satu
persetujuan bersama. Pihak yang bertikai itu mengemukakan satu kaedah
penyelesaian yang kemudiannya mahkamah akan membuat perintah sebagaimana yang
dipersetujui. Cara ini lebih kurang dengan sulh.
- Pembahagian melalui kuasa mahkamah: Iaitu
dengan mengeluarkan perintah setelah meneliti keterangan dan penghujahan
kedua-dua belah pihak. Ini termasuk memerintahkan supaya aset atau harta yang
dipertikai itu dijual dan pembahagian akan dibuat mengikut kadar sumbangan
terhadap harta atau aset yang dikumpul itu.
- Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam 2003 (Negeri
Selangor) [Enakmen No 2/2003]
- Kes Mal No.26/91. Mahkamah Tinggi Syariah, Wilayah
Persekutuan, KL.
- Enakmen Keluarga Islam Kedah. Bil 1 (1984). S 49 (1)
No comments:
Post a Comment