Tuesday 8 April 2014

Memahami tentang harta sepencarian.

Salam ukhuwah buat ahli briged..ramai yang tidak faham tentang harta sepencarian dengan suami apabila berlaku perceraian..

Artikel kali ini saya kongsikan daripada Dr. Hasanah Abd. Khafidz, seorang doktor falsafah dalam bidang Syariah, untuk bacaan ilmiah kalian.

Sambung lagi perbincangan tentang harta sepencarian. Ini ialah bahagian ketiga selepas  dua entri sebelum ini yang membahaskan isu harta sepencarian.
Secara umumnya adalah sukar untuk menentukan kaedah pembahagian harta sepencarian kerana tiada ketetapan khusus mengenai pembahagian ini samada ½, 1/3 atau seumpamanya.

Dalam sistem adat terdapat pendekatan tertentu yang dapat mentautkan kembali hubungan kekeluargaan sesama pasangan iaitu dengan menyelesaikan sesuatu pertikaian itu melalui kemuafakatan atau perdamaian. Pendekatan demikian berbeza dengan kaedah penyelesaian masa kini yang merujuk kepada sumbangan yang diberi oleh pihak-pihak bertikai merupakan asas penting yang mempengaruhi keputusan mahkamah. Dalam konteks pembahagian terdapat beberapa cara digunakan, iaitu:

1) Kaedah Sulh .
2) Melalui persetujuan dalam mahkamah. 
3) Pembahagian juga boleh dilakukan melalui kuasa mahkamah. 


Sekiranya kedua-dua pihak tidak dapat membezakan berapa jumlah kuantiti material yang disumbangkan dalam perolehan harta yang dipertikaikan itu, maka penyelesaiannya adalah dengan menggunakan kaedah pembahagian iaitu mahkamah memerintahkan supaya harta-harta tersebut dibahagi dua atau sama banyak. Cara ini digunakan apabila kedua-dua belah pihak memberikan sumbangan secara langsung.

Pembahagian harta sepencarian di Selangor diselesaikan dengan merujuk kepada Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam 2003 (Negeri Selangor) [Enakmen No 2/ 2003] Seksyen 122 yang menetapkan:

1) Mahkamah adalah mempunyai kuasa apabila membenarkan lafaz talak atau apabila membuat suatu perintah penceraian, memerintah supaya apa-apa aset yang diperolehi oleh pihak-pihak itu dalam masa perkahwinanmereka dengan usaha bersama mereka dibahagi antara mereka supaya mana-mana aset itu dijual dan hasil jualan itu dibahagi antara pihak-pihak itu.
2) Pada menjalankan kuasa yang diberi oleh sub-seksyen (1), mahkamah hendaklah mengambil perhatian tentang:

a. Takat sumbangan-sumbangan yang telah dibuat oleh tiap-tiap satu pihak dalam bentuk wang, harta atau kerja bagi memperolehi aset-aset tersebut.


b. Apa-apa hutang yang terhutang oleh salah satu pihak yang telah dilakukan bagi manfaat bersama mereka.


c. Keperluan anak-anak yang belum dewasa dari perkahwinan itu jika ada. Dan tertakluk kepada pertimbangan-pertimbangan itu, mahkamah hendaklah membuat pembahagian yang sama banyak.


3) Mahkamah adalah mempunyai kuasa apabila membenarkan lafaz talak atau apabila membuat perintah penceraian, memerintahkan supaya apa-apa aset yang diperolehi dalam masa perkahwinan dengan usaha tunggal satu pihak kepada perkahwinan itu dibahagi antara pihak-pihak itu.

4) Pada menjalankan kuasa yang diberi oleh sub-seksyen (3), mahkamah hendaklah memberi perhatian kepada:


a) Takat sumbangan-sumbangan yang telah dibuat oleh pihak yang tidak memperolehi aset itu, kepada kebajikan keluarga dengan memelihara rumahtangga atau menjaga keluarga.

b) Keperluan anak-anak yang belum dewasa dari perkahwinan itu jika ada dan tertakluk kepada pertimbangan-pertimbangan itu, mahkamah boleh membahagikan aset-aset itu atau hasil jualan itu mengikut apa-apa kadar yang difikirkan munasabah. Tetapi walau bagaimanapun, pihak yang telah memperolehi aset-aset itu dengan usahanya hendaklah menerima satu kadar yang lebih besar.


5) Bagi maksud seksyen ini, rujukan-rujukan mengenai aset yang dipunyai oleh satu pihak sebelum perkahwinan itu telah dimajukan pada sebahagian besarnya dalam masa perkahwinan itu oleh pihak yang lagi satu itu atau dengan usaha bersama mereka.
Di Wilayah Persekutuan, pembahagian harta sepencarian dibahagi sama rata jika dibuktikan adanya sumbangan bersama antara suami isteri dalam memperoleh harta yang dipertikaikan. Namun dalam sesetengah kes mahkamah memerintahkan 5/6 dibahagikan kepada isteri dan 1/6 kepada suami. 

Undang-Undang Mahkamah Syariah Sarawak (1985) mempunyai peruntukan lebih tegas berhubung harta sepencarian serta memberi definisi yang jelas berhubung dengan harta tersebut. Definisi yang diberikan adalah harta yang diperolehi bersama suami isteri semasa perkahwinan mengikut kadar sumbangan yang telah dibuat oleh tiap-tiap pihak dalam bentuk tenaga, harta atau wang.  Hak-hak isteri ke atas harta sepencarian setelah berlaku penceraian adalah:

a. Jika suami sama-sama bekerja (makan gaji/sendiri) maka pembahagiannya adalah mengikut kadar sumbangan setiap pihak.


b. Jika isteri menjalankan tugas menyusu dan memelihara anak, mencuci pakaian, memasak, memelihara kebersihan rumah tangga selain bekerja, maka dia berhak mendapat selain bahagiannya seperti dalam ceraian (1) peruntukan berkenaan iaitu ? daripada bahagian suami.


c. Jika suami sahaja bekerja sedangkan isteri hanya bertugas di rumah dan memelihara anak, maka isteri akan mendapat ? daripada harta.


d. Jika isteri tinggal di rumah tetapi disediakan orang gaji, tukang masak, tukang cuci pakaian, tukang jaga anak dan sebagainya oleh suaminya, maka isteri tidak berhak mendapat ? daripada harta sepencarian. Walau bagaimanapun, terpulang kepada mahkamah mempertimbangkan bahagian yang munasanah untuknya.


Di Sarawak, Undang-Undang Mahkamah Melayu telah menentukan bahawa tuntutan harta sepencarian boleh dibuat semasa penceraian. Bagi wanita yang bekerja dengan suami seperti adat Melanau, maka berhak mendapat ½ dari harta tersebut. Jika wanita tidak bekerja hanya mendapat ? sahaja. Jika didapati kedua-dua pihak berhutang dan hutang tersebut tidak boleh dilangsaikan dengan harta sepencarian mereka, maka penceraian tidak dibenarkan kecuali jika pihak suami sanggup membayar hutang tersebut.

Undang-undang yang telah dinyatakan tadi merupakan sebahagian daripada undang-undang yang dilaksanakan di Mahkamah-mahkamah Syariah di Malaysia. Walaupun setiap negeri memperuntukkan undang-undang berkaitan harta sepencarian, namun, didapati bahawa terdapat beberapa perbezaan antara undang-undang tersebut terutamanya dari sudut kaedah pembahagian.  Hal ini adalah kerana sifat undang-undang harta sepencarian itu sendiri yang masih boleh dianggap baru dan memerlukan kajian lanjut. Lakune dalam undang-undang berkaitan berpunca daripada kurangnya sumber yang berbentuk tekstual dalam karya klasik undang-undang Islam (ummahat al-kutub) dan ia banyak bergantung kepada adat setempat sesuai dengan prinsip fiqh iaitu al-‘adah muhakkamah yang bermaksud adat boleh menjadi hukum.

Rujukan & catatan

- Ibrahim Lembut. (12-14 Jun 2007). Kaedah Dan Keseragaman Di Dalam Cara Pembahagian Harta Sepencarian Harta Pusaka Islam. Konvensyen Perwarisan Harta Islam. Amanah Raya Berhad, Kuala Lumpur. Hal: 9. 

- Sulh: Iaitu dengan cara berdamai sama ada melalui pengakuan, penyerahan hak pemilikan kepada satu pihak. Sulh juga boleh berlaku dalam keadaan satu pihak tidak berhasrat untuk membuat tuntutan, sebaliknya bersedia memberikan harta yang dipertikaikan itu kepada pihak yang satu lagi.

- Persetujuan dalam mahkamah:  Iaitu semasa perbicaraan di mana hakim memberi peluang kepada kedua-dua belah pihak untuk mencapai satu persetujuan bersama. Pihak yang bertikai itu mengemukakan satu kaedah penyelesaian yang kemudiannya mahkamah akan membuat perintah sebagaimana yang dipersetujui. Cara ini lebih kurang dengan sulh.

- Pembahagian melalui kuasa mahkamah:  Iaitu dengan mengeluarkan perintah setelah meneliti keterangan dan penghujahan kedua-dua belah pihak. Ini termasuk memerintahkan supaya aset atau harta yang dipertikai itu dijual dan pembahagian akan dibuat mengikut kadar sumbangan terhadap harta atau aset yang dikumpul itu.

- Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam 2003 (Negeri Selangor) [Enakmen No 2/2003]

- Kes Mal No.26/91. Mahkamah Tinggi Syariah, Wilayah Persekutuan, KL.


- Enakmen Keluarga Islam Kedah. Bil 1 (1984). S 49 (1)