Tuesday 11 February 2014

Adab-adab Menuntut Ilmu


Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh..

Salam perkenalan..salam ukhuwah daripada penulis yang telah diamanahkan untuk mengisi ruang artikel pada keluaran kali ini..Alhamdulillah sangat bersyukur ke hadrat Illahi kerana limpah kurnia dan inayah-Nya, penulis diberi kesempatan untuk berkongsi ilmu dengan harapan ianya memberi manfaat kepada setiap pembaca khasnya ahli
 BSSGM yang dikasihi Allah subhanahu wataala..

Walaupun penulis berada jauh dari pandangan mata, namun itu bukanlah alasan untuk menjadi penghalang dalam menyebarkan dakwah serta perkongsian ilmu yang sangat dituntut dalam kehidupan kita seharian.

Kali ini penulis ingin berkongsi tentang ‘Adab menuntut ilmu’. Seiring dengan tugas harian penulis sebagai seorang guru, tajuk ini amat sesuai untuk kita hayati bersama sebagai ‘pembuka’ bulan Februari tahun 2014 bersamaan Rabiul Akhir 1435 Hijrah.

Para ahli BSSGM yang dikasihi Allah swt, menuntut ilmu adalah sebuah tugas yang sangat mulia di sisi Allah swt. Rasulullah saw bersabda, “Barang siapa yang dikehendaki baik oleh Allah maka Allah akan fahamkan dia dalam hal agamanya” HR, Bukhari. Oleh sebab itu, sudah semestinya kita berupaya sebaik-baiknya dalam menimba ilmu yang mulia ini. Justeru, setiap apa yang kita cita-citakan, tentunya mempunyai adab-adab yang harus diperhatikan agar ilmu yang diperolehi menghasilkan barakah, menyebarkan rahmah dan bukannya menyebarkan fitnah.
Antara adab menuntut ilmu:

1- Mengikhlaskan niat kerana Allah swt.
Iaitu setiap apa yang dilakukan adalah semata-mata kerana Allah taala megharapkan keredhaan Allah swt. Niat adalah perkara yang paling utama diperhatikan kerana sudah tentu, segala perbuatan bersandarkan kepada apa yang diniatkan. Apabila dalam menuntut ilmu seseorang mengharapkan untuk memperoleh kedudukan di dunia maka Rasulullah saw bersabda, “Barang siapa yang menuntut ilmu yang seharusnya hanya ditujukan untuk mencari wajah Allah swt tetapi dia berniat untuk meraih kehidupan dunia maka dia tidak akan mencium bau syurga pada hari kiamat”. Hadis ini menunjukkan amaran yang keras. Tetapi apabila seseorang yang menuntut ilmu memiliki niat memperoleh pengiktirafan atau ijazah atau gelaran supaya dapat memberikan manfaat kepada orang-orang dengan mengajarkan ilmu, pengajian dan sebagainya maka niatnya ikhlas dan tidak bermasalah kerana niat yang benar.

2- Beramal dengan ilmu
Iaitu penuntut ilmu mengamalkan ilmu yang dimilikinya, sama ada dari segi akidah, akhlak, adab mahu pun muamalah kerana amal inilah buah ilmu dan hasil yang dipetik dari ilmu. Seorang yang mengemban ilmu adalah ibarat orang yang membawa senjatanya, dan senjatanya itu boleh digunakan untuk membela dirinya atau untuk membinasakannya. Ini seiring dengan maksud hadis Rasulullah s.a w, baginda bersabda, “Al-Quran adalah hujjah untukmu atau untuk menjatuhkanmu”.

3- Berdakwah di jalan Allah
Iaitu menjadi seorang yang menyeru kepada agama Allah swt, sentiasa mengisi masa untuk berdakwah, di masjid, di setiap pertemuan dan lain-lain tempat yang dirasakan mempunyai kesempatan untuk berdakwah. Contohilah sifat Rasulullah saw yang mana setelah baginda diangkat menjadi rasul, baginda tidak pernah duduk diam akan tetapi baginda sentiasa menyebarkan dakwah ke mana sahaja baginda melangkahkan kakinya. Jadilah seorang penuntut ilmu yang sentiasa beramal dengan ilmu yang dipelajari dan bukannya setakat mempelajarinya tetapi tidak mengamalkannya.

Adab yang seterusnya akan di sambung pada keluaran akan datang in sha Allah..





No comments:

Post a Comment